Monday, January 13, 2014

day4 part1: pagi di mon bridge

Punyalah bercinta nak bangun untuk Subuh pagi tu. Sayang rasanya nak keluar dari selimut dalam kesejukan pagi. Gigih jugak tahan sejuk dan lepas solat kami bersiap untuk sesi memburu sunrise. Masing2 gigih berjalan menuju ke Mon Bridge meredah suhu pagi tu di antara 12˚C dan 13˚C. 


Nampak upacara monk blessing di pagi hari, ambik gambar pun curik2. Gambar ni tak jelas sebab pagi tu memang berkabus. Sepanjang jalan tu kami terserempak dengan penduduk kampung yang sama ada tengah tunggu monk atau pun tengah kemas lepas dikunjungi monk. 


Dalam kesejukan pagi ni, ramai orang yang berniaga offering set dekat dengan Mon Bridge ni. Masa aku kat sini sempatlah tengok monk dorang buat blessing. Tapi sayang, tak sempat aku nak snap gambar.


Masih berkabus, langsung tak nampak seberang sana.


Hujung jambatan yang runtuh belah sana tu pun sayup2 je nampak. Belakang tu langsung tak nampak apa. Punyalah tebal kabus waktu pagi ni.


Matahari dah tinggi, tapi malu2 je diselubungi misteri kabus. Ralit tengok kabus naik ke atas sambil berjalan melintasi bamboo bridge.


Runtuh di tengah2.


Mak cik berniaga bunga atas jambatan buluh. Mak cik ni sporting bila orang nak ambik gambar dia, siap posing ayu dengan senyuman menikam kalbu tepi besen bunga. Cuma aku je tak boleh blah, sesuka hati ambik gambar curi. 


Matahari dah naik bergalah2 pun tetaplah malu2 jugak. Terbukti betapa tebalnya kabus dan betapa sejuknya cuaca kat sini.


Budak kat atas ni terjun dari atas jambatan, ramai yang tunggu nak ambik gambar dia. Aku tak pasti sama ada dia terjun tu on purpose atau memang saja suka2. Tapi kalau aku ler, tak kuasa dalam sejuk gitu nak terjun masuk tasik. Mahu gigil tak timbul2 dah lepas tu.


Dah habis menyeberang bamboo bridge tu, sampailah ke perkampungan Mon. Kat hujung jambatan tu ada pasar, jual macam2. Cuma aku tak pasti pasar ni ada setiap hari atau hanya hari2 tertentu sahaja. Punyalah banyak anjing berkeliaran, tak daya aku nak ushar gerai ni semua. Risau kot2 muncul kat sebelah, aduhaiii. Cukuplah sekadar intai dari jauh je. 


Kesan runtuhan dari Mon Village.


Dah banyak kabus yang hilang. Suka aku tengok sinar matahari belakang bukit bukau tu. Macam cantik je... macam lawa je...

Aku tak adalah nak merayau masuk Kampung Mon tu walaupun teringin nak buat macam tu. Kitorang kena cepat sebab dalam pukul 10.00 pagi kami nak check out dah. Dalam pukul 8.30 pagi tu kitorang dah patah balik. Sempatlah beli poskad dan fridge magnet kat gerai tepi jambatan tu. Dah selesai baru kitorang berjalan balik ke guesthouse. Masa ni dah tak sesejuk pagi tadi. Lepas kemas backpack, dah pastikan tak de yang tertinggal baru kitorang prepare breakfast. Kat sini breakfast tak disediakan, tapi kitorang boleh mintak air panas free. 


Nasi lemak segera keluaran Bumiputra Nasgera menjadi hidangan sarapan kami pagi tu. Tapi kalau korang nak bawak ni sebagai bekal, aku suggest korang bawaklah sambal bilis ke, telur rebus ke, sebabnya bilis yang ada untuk 1 pack nasi lemak ni cuma dalam 3-4 ekor je. 

Dah kenyang makan, bayar duit bilik dan bergambar, kami berempat dihantar oleh suami Ying ke P Guesthouse, lebih kurang 1.7km dari Coffee Berry Guesthouse. Baik sungguh dorang ni, dah lah masa sampai hari tu dorang pick up, nak ke guesthouse lain pun dorang hantarkan free of charge! Aku akan ceritakan pasal guesthouse dan hostel yang kitorang stay dalam entry khas yang tak tau bila nak siap.


Sunday, January 12, 2014

day3 part2: dari kanchanaburi ke sangkhlaburi

Sai Yok Waterfall tak jauh jaraknya dari Hellfire Pass Museum tu. Kalau dari town Kanchanaburi ke Hellfire Pass Museum, Sai Yok Waterfall terletak di antara keduanya. Masa pak cik tuk-tuk suggest untuk singgah masa balik, kitorang okay je. Dah sampai situ, kitorang diberi masa sejam untuk Sai Yok Waterfall. Lepas panjat tangga sikit, pastu berjalan tak berapa langkah dah nampak air terjunnya. Masuk ke sini adalah percuma. 


Masa mula2 tengok air terjun ni aku rasa macam biasa2 je, tak ada yang istimewa pun. Memang ramai budak2 yang bermain air kat sini dan mak ayah dorang tunggu kat tepi tu. Aku rasa sini memang jadi tumpuan warga tempatan untuk beriadah bersama keluarga. 


Tapi bila aku ke sebelah kiri dari gambar kat atas sana, baru aku realize something. Sai Yok Waterfall ni unik. Air yang jatuh tak ada aliran macam kat tempat lain, tapi airnya jatuh bersepah. Sekali tengok macam air musim banjir pun ada. Kalau korang perasan gambar atas ni, atas batu tu sebenarnya air tengah mengalir hasil dari jatuhan kat atas sana. 

Walaupun airnya jatuh bersepah dan merata2, tapi tetap terasa sejuk. Ralit tengok air tu, terlupa nak ke sebelah sana. Kat dalam kawasan ni ramai yang berniaga, banyaknya makanan dan pakaian. Ada gerai2 yang disediakan di tempat2 tertentu. Masa naik tangga nak ke tempat tuk-tuk, nampak gerai jual pancake kelapa halal. Terus semua menebeng kat situ.


Pancake kelapa yang sedap. Doh macam roti canai tu ditebar, diletak telur, isi kelapa muda dan gula selepas disapu planta. Lepas dah masak, dipotong dan dimasukkan dalam tempurung kelapa yang dah diambil isinya. Lepas tu letak susu manis dan gula sebelum diletak isi kelapa muda kat atas tu. Yang aku order, aku request tak nak susu dan gula, itu pun dah cukup manis. Tapi memang sedap!

Sekali lagi dalam perjalanan balik ke Kanchanaburi, pak cik tuk-tuk merempit. Bila dah tengah hari rasa sejuk dah kurang sebab matahari bersinar terik. Kami sampai kat Terminal Bas Kanchanaburi lebih kurang pukul 1.00. Aku, Nani, Izza dan Nik bergegas cari bas untuk ke Sangkhlaburi. Bas yang kitorang tanya kat terminal tu tambangnya THB 145. Dari situ kami menyeberang jalan ke kaunter van dan tambangnya THB 175. Waktu bertolak adalah sama. So, kitorang decide ambik van je dan lepas ambil tiket kitorang bagitau suruh tunggu sebab kami nak pergi ambik backpack. 

Dah ambik backpack masing, kami say good bye to them. Kat sini kami akan berpisah di mana kami berempat akan menyambung perjalanan ke Sangkhlaburi dan mereka berempat akan kembali ke Bangkok. Dalam van cuma kami berempat orang Malaysia, sorang uncle mat saleh dan sorang mak cik yang aku ingatkan girlfriend uncle tu yang asalnya aku ingatkan orang Thai tapi dia ada passport. Dan yang lain adalah orang tempatan. 

Awal2 tu mata masih segar, bergossip dan bersembang sebelum akhirnya kami semua tidur. Terjaga bila van berhenti kat tempat pemeriksaan. Untuk pengetahuan semua, dari Kanchanaburi ke Sangkhlaburi ada banyak stop untuk pemeriksaan sama ada polis mahupun tentera. Ini mungkin jugak kerana Kanchanaburi dan Sangkhlaburi bersempadan dengan Myanmar. Masa pemeriksaan yang pertama, mak cik tu disuruh turun dan dia kata dia kena bayar THB 5. Kat second stop tak ada sesiapa yang disuruh turun. Bila kitorang tunjukkan passport bila diminta, terus diorang kata okay. Kitorang sambung tidur sehinggalah terjaga bila budak perempuan yang dengan ayahnya tu asyik menangis. Dari tidur kitorang duk menghiburkan budak tu, sampaikan uncle mat saleh tu senyum2 kat kitorang. Tak lama lepas tu aku terkesima bila nampak belah kiri ada tasik yang luas, bersambung2 dan dipisahkan dengan pulau2 kecik.

  
Setelah berkali2 berusaha nak capture, akhirnya ini yang berjaya aku ambik. Memang mencabar sebab jalan sudah mendaki dan bengkang bengkok. Tapi tetaplah driver van kitorang rempit macam kat litar Sepang. 

Kami sampai kat Sangkhlaburi lebih kurang pukul 5.00 setelah lebih kurang 3 jam 30 minit perjalanan dari Kanchanaburi. Kalau naik bas harus lagi lama. Sementara tunggu Ying datang pick up, sempatlah kami merayau di walking street, ushar peniaga yang baru bukak gerai jualan. Untuk malam ni kami akan stay di Coffee Berry Guesthouse yang comel dan unik dengan kreativiti ownernya. Lepas rehat sekejap, kami berjalan ke Mon Bridge. Kononnya nak tengok sunset. Dari guesthouse ke Mon Bridge cuma lebih kurang 400 meter je. 


Tapi sayang, cuma ini je yang masih berbaki sewaktu kitorang sampai. Cukuplah untuk hari ini, mungkin esok masih ada rezeki untuk kami.


Bamboo bridge yang digunakan untuk menyeberang ke Mon Village setelah Mon Bridge runtuh July lalu dan masih belum dibaiki. 

Bila hari semakin gelap, kami akhirnya mengambil keputusan untuk kembali ke guesthouse. Dalam perjalanan kami ditegur sebuah keluarga Muslim. Berbual dengan bahasa yang amat terhad, namun kemesraan itu ada. Katanya kat pasar malam ada gerai makanan orang Muslim. 


Yup, kami di Sangkhlaburi dan ini adalah kenyataan.


Pasar malam di Sangkhalaburi. Dari makanan, pakaian dan barang2 hiasan banyak dijual. Aku teringin nak beli kain tenun, tapi masalah komunikasi membuatkan aku back off. 


Sebelum balik kami singgah tengok persembahan ni sekejap. Tariannya mirip tarian tradisional kita. Bila dah nak balik baru aku tahu yang pasar malam ni cuma seminggu sekali sahaja. Patutlah meriah semacam.


Kami berjalan balik ke guesthouse bila dah kepenatan. Itu pun lepas jenuh cari Restoran Sala; restoran Muslim yang ada kat situ menurut peniaga kat pasar malam tu. Tapi kami tak jumpa pun. Dari pasar malam ni ke guesthouse jaraknya lebih kurang 750 meter. Konon nak terus masuk bilik dan tidur, tapi bila Ying tunjukkan rooftop terus plan berubah.


Kat sinilah kami melepak, berbual sambil mengira bintang di langit. Lama kami cuba bertahan dengan suhu 17˚C sebelum masing2 mengaku kalah dengan kesejukan. Malam itu kami lena diulit mimpi setelah menempuh perjalanan yang panjang. 

  

Thursday, January 9, 2014

day3 part1: the hellfire pass

Masih di Kanchanaburi dan masih di VN Guesthouse. Tapi pagi ni kitorang akan angkut semua barang dan check out sebelum keluar merayau. Lebih kurang pukul 8.00 pagi, sambil2 breakfast kat cafe Zilla uruskan pasal check out pagi tu dan guesthouse sekali lagi call tuk-tuk untuk kitorang.


Entrance VN Guesthouse, kaunter dan kat situ jugak cafe. Memang best lah melayan view.

Kami mintak tuk-tuk bawak ke Terminal Bas Kanchanaburi, dari situ baru kitorang akan decide nak gerak macam mana. Since semua dah angkut backpack, kitorang cari tempat untuk left baggage. Kat seberang jalan sana mahal amat, ikut per jam. Last2 kitorang tinggalkan kat office Tourist Police dengan bayaran THB 20 per bag regardless how long the duration. 

Kami akhirnya ambik tuk-tuk untuk ke Hellfire Pass Museum dan atas persetujuan semua tambah lagi THB 10 untuk singgah di Sai Yok Waterfall. Pak cik tuk-tuk kitorang memang legend lah, laju giler bawak tuk-tuk, semua kenderaan depan kitorang dipotongnya. Masing2 dah kesejukan kat belakang, ada yang siap berselimut dengan kain pelikat lagi! Aku, Nani dan Pijah berusaha habiskan kuaci Irdhi, at least bila ada aktiviti mengunyah yang tak seberapa tu dapatlah mengurangkan kesejukan. Yang peliknya dorang sumer pakai baju berlapis2, aku dengan Meda elok je pakai t-shirt lengan pendek selapis. 


Dari pintu masuk depan main road nak ke sini jauh jugak, lenguh lah kaki kalau menapak tu. Yang penting masuk ke sini adalah percuma orang kedekut macam aku haruslah carik yang murah dan free je dan dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang. Sebelum aku bawak korang jalan2 tengok apa yang ada dalam museum ni, moh kita baca dulu apa sebenarnya Hellfire Pass ni. Jangan redah je tapi tak tau apa sejarahnya. Kalau rasa tak cukup info, tanya Cik Gugel jangan tanya aku


Info ni ada dalam museum tu. Sebenarnya banyak info lain yang berkaitan, tapi tak daya aku nak masukkan semua dalam blog ni. 


Dulu2 aku selalu dengar Mak cerita pasal duit daun pisang zaman Jepun, inilah rupanya. Mangsa tahanan perang prisoners of war dan buruh paksa Asia romusha dibayar gaji hari dengan bayaran yang amat rendah. Kadang2 bayaran tak menentu dan mereka yang sakit memang tak akan dibayar. 


Peralatan yang digunakan sewaktu proses membina landasan keretapi. Korek bukit, potong batu, tebang pokok, dan segala bentuk kaedah kerja untuk menyiapkan landasan tersebut menggunakan sepenuhnya tenaga manusia yang terdiri dari tahanan perang dan jugak buruh paksa. Nak tolong Mak cangkul kat kebun pun dah mintak nyawa, inikan pulak kalau aku kena paksa macam dorang. 


Jepun ni bijak, dia tak nak family tahanan perang ni tahu hal sebenar, dorang dah tulis poskad siap2 untuk dorang hantar kepada family. Potong mana yang tidak berkenaan je kaedahnya. Kadang2 tu Jepun ni tak hantar pun, wayang je lebih. Poskad kat atas ni didermakan oleh keluarga Baxter dari Suffolk Regiment.


Diari pun ada, cuma aku tak pasti sama ada dari George Baxter atau orang lain. Among the prisoners of war mostly, dorang akan tulis diary atau nota untuk menceritakan keadaan sekeliling dan pengalaman mereka. Ada yang buat sketched untuk rekod bergambar. George Aspinall, askar Australia telah menyeludup masuk kamera dan berjaya merakam pengalaman mereka. 

Kat dalam museum ni ada tayangan video pendek berkenaan kehidupan mereka. Sayu je tengok. Mungkin ada di antara datuk moyang kita adalah antara mereka yang menjadi buruh paksa dan tidak diketahui kisah mereka sehingga ke hari ini. Hilang tanpa dapat dikesan, sama ada masih hidup atau telah meninggalkan kita semua. Walaupun museum ini lebih menonjolkan tentang tahanan perang, tetapi harus diingat bahawa lebih kurang 250,000 adalah buruh paksa yang sebahagiannya terdiri daripada orang2 Malaya berbanding dengan hanya 60,000 tahanan perang. Keadaan buruh paksa lebih teruk berbanding dengan tahanan perang ni. Dipercayai 20% je daripada tahanan perang ni mati berbanding 70,000 - 90,000 kematian daripada buruh paksa sepanjang pembinaan landasan ni berlangsung. Dah habis pasal sejarah, jom aku bawak korang melawat tempat kejadian pulak.


Dari museum tadi kita akan melalui laluan ni untuk turun ke bawah, ke tempat kejadian. Kena hati2 masa turun ni sebab licin terutamanya kalau basah. 


Elok je turun dari laluan kayu tadi, pandang belah kiri korang akan nampak pemandangan ini. Entahlah, sama ada mainan perasaan atau apa, aku rasa something wrong je. Lagi pun aku tak nampak ada sesiapa yang menghala ke sana.


Memandang ke kanan, inilah yang terhidang di depan mata. Dan laluan inilah yang kitorang akan ambil untuk melewati kenangan silam, mencuba untuk merasai keperitan mereka yang terdera sewaktu menyiapkan laluan ini. 


Bayangkan bukit berbatu yang besar ini dibelah di tengah2nya dengan menggunakan kudrat manusia. Berapa ramai yang terkorban demi memenuhi cita2 gila tentera Jepun. Turut kelihatan adalah sisa railbed landasan keretapi.


Di dinding batu tadi, masih terdapat compressor drill yang patah. Kalau compressor drill yang sebesar itu pun boleh patah, cuba kita bayangkan betapa kerasnya batu bukit ini dan betapa terseksanya mereka2 yang menjadi buruh paksa untuk menyiapkan landasan keretapi ini. 


Di sebalik monumen memorial yang terletak di kawasan rehat, masih panjang sebenarnya laluan duka yang dialami oleh tahanan perang dan buruh paksa serta keluarga mereka. Kalau tak silap aku, laluan ke sebelah sana ditutup.


Dari tapak monumen memorial tadi, kami mendaki bukit disebelahnya dan inilah yang kami lihat. Tidak ada sebarang maklumat di sini, tapi kami sepakat mengandaikan bahawa ini digunakan untuk mengangkut barang2 dan keperluan sewaktu pembinaan landasan keretapi ini.

Turun dari sini kami mengambil keputusan untuk mengakhiri perjalanan ini dan kembali ke parking. Aku, Zilla dan Meda memilih untuk kembali menyusuri laluan yang sama, manakala mereka yang lain memilih laluan lain, mendaki bukit di sebelahnya untuk kembali ke parking. Di tempat parking, kawan2 yang lebih awal sampai dah sedia menunggu di sebelah tuk-tuk. Bila semua dah ready, kami seterusnya ke destinasi seterusnya dengan pak cik tuk-tuk legend ni.

footnote: walaupun kisah ini telah puluhan tahun berlalu, namun kepedihan masih dapat dirasai. Semoga datuk moyang kita yang terkorban sewaktu menjadi buruh paksa suatu ketika dahulu dan ada diantaranya yang hilang tanpa dapat dikesan, berada di bawah rahmatNya Yang Maha Esa. Mereka bukan sahaja terdera dari segi fizikal, malahan didera emosi dan rohani. Museum ini lebih menonjolkan tahanan perang kerana ianya dibina dengan funding oleh kerajaan Australia. Apa yang kami lalui hanyalah cebisan kecil dari keseluruhan landasan keretapi sepanjang 415 kilometer, merentasi hutan belantara dan gunung ganang dari Ban Pong, Thailand ke Thanbyuzayat, Burma. Kaedah pembinaan bermula dari both end dan dicantumkan kat tengah2 di Konkaita, Thailand pada 16 Oktober 1943. Dan hari ini, 130 kilometer dari laluan tersebut masih digunakan dari Non Pladuk ke Namtok. 


Tuesday, January 7, 2014

day2 part2: menyelusuri sejarah lampau

Bila van yang ditukar dah sampai, kat dalam tu dah ada 3 sekeluarga. Dari Erawan National Park kami dibawa ke Death Railway. Dalam perjalanan macam biasalah, masing2 buat aktiviti kegemaran dan sesekali kitorang kenakan Izza, jenuh cakap Melayu standard sebab tak nak bagi 'mangsa' kitorang faham. 


Dah sampai! Kitorang akan naik train dari sini melintasi Death Railway dengan perjalanan lebih kurang 30 minit. Sementara nak tunggu train pukul 4.00 petang bukanlah tepat pukul 4.00, ada ralat jugak kitorang dibawa ke Kra Sae Cave. Masa kat sini ahli rombongan kitorang dah bercampur dengan rombongan lain, memang ramailah jadinya.


Gua yang menjadi tempat tinggal pekerja kerahan landasan keretapi maut ni. Yang mati dorang campak dan biarkan je dalam gua ni. Binaan yang jelas boleh nampak dari pintu gua ni sebagai memperingati si mati.


Sebahagian dari Death Railway. Landasan yang ni adalah yang dibina semula, landasan asal terletak di belakang gua tadi. Landasan yang ni betul2 depan pintu gua. Bila tengok keadaan structure camni, takut pun ada nak naik train dan lalu atas ni. 


Sebelum lalu dengan keretapi, kita berjalan dulu atas landasan ni.


View seberang sana memang menarik. Kalau ada masa panjang, teringin nak singgah kat sebelah sana. Macam best je... macam cantik je... 

Pukul 4.++ baru train sampai. Masa naik dalam train, terkesima sekejap bila tengok meriah giler dalam train dengan budak2 sekolah. Tempat duduk dah penuh dalam koc depan tu. Dalam pada berkira2 nak ke koc lain bila Izza ajak, 2 orang budak sekolah tu bangun dan bagi kitorang duduk. Terus cancel nak ke koc belakang. 


Meriah kan dengan bebudak sekolah? Masa ni train berhenti kat selekoh. Semua bertumpu ke sebelah situ sebab nak tengok view yang cun. Kitorang yang duduk belah sini bertabah ajelah dengan apa yang ada. Tak mampu dah nak menyelit celah dorang.


Kerana kecewa atau bosan? Since orang belah sana layan view cun, orang2 belah sini layan kehijauan ni pulak. Yang kat tengah2 tu sempat main air lah. Masa berhenti kat sini Niu datang dan bagitau kitorang supaya turun bila next stop.


Klasik sungguh keretapi yang bawak kitorang melintasi Death Railway. Sporting driver train ni, siap tunggu kitorang habis ambik gambar tu. 


Koc yang berbeza warnanya. Ramai jugak yang turun kat sini, mostly yang ambik package tour macam kitorang.


Lambaian terakhir daripada 'pak cik' nih. Excited dia duk melambai kitorang. 

Dari tempat kitorang turun tadi, van dah sedia tunggu kitorang. Dari situ kami dibawa ke Bridge Railway over River Kwai pulak. Masa ni family yang naik sekali dengan van kitorang tak ada, dorang proceed dengan train dan terus balik ke hotel lepas tu. Agaknya rengsa dengan kitorang yang asyik buat kecoh dalam van agaknya. Kitorang diberhentikan kat area pasar dan diberi masa lebih kurang 45 minit je.


Railway Bridge over River Kwai di remang senja. Ni gambar dari bawah. Jom, kita naik ke atas bridge tu pulak.


Bridge ni memang menjadi tumpuan ramai, terutamanya pelancong macam kami. Aku berjalan sampai ke hujung sana melintasi sungai sorang2 sebelum berpatah balik ke pangkal jalan. 


View dari sebelah sana. Korang perasan tak pelantar belah kiri tu? Sebenarnya pelantar tu ada di kedua2 belah. Bila train datang, penumpang akan standby kat platform tu. Penumpang train sedia ada akan turun ke pelantar tu dan penumpang baru akan naik dari platform tu jugak. Tak faham? Senang citer platform tu kiranya transit point for passenger of the train. 


Just before leaving the Railway Bridge over River Kwai. Tak boleh nak tengok matahari betul2 terbenam sebab terhalang dengan temple tu.


Since masa yang kitorang ada limited dan aku terleka kat bridge tu, tak sempat nak ushar gerai jualan kat area sini. Sempat ambik gambar ajelah. Masa kat sini aku terserempak dengan Niu, aku antara yang terlambat dan terpaksa dicari. Yang lain dah menunggu dalam van.


Kat dalam tu nampak macam gerai yag jual batu permata. Nak ushar tengok memang tak sempat. Van akhirnya membawa kami ke pangkal jalan guesthouse dan berakhirlah tour kitorang untuk hari ni. Setelah berjanji nak keluar balik untuk dinner, masing2 membawa haluan. 


Sisa sunset dari cafe guesthouse. Tenang dan mendamaikan. Balik ke bilik, aku bersembang dengan Meda kat balkoni sambil ushar mamat guesthouse sebelah sementara menunggu masa untuk keluar dinner. 

Pukul 8.00 malam kami semua dah ready nak keluar. Staff guesthouse tolong call tuk-tuk untuk kitorang. Gerai yang aku nampak semalam kononnya jual sate tu, rupa2nya bukan. Terkecewa sebab aku dah berangan nak makan sate. So kitorang berjalan ke seberang jalan pulak dan nampak lagi few gerai makan halal.

  
Kami akhirnya memilih gerai ni. Tengok menu ada nasi ayam. Akhirnya semua order makanan yang sama dan sementara tunggu makanan sampai aku merayau dulu ke bahagian dalam pasar. 


Nasi ayam katanya, tapi aku rasa dah macam nasi beriyani. Lagi sedap dari nasi beriyani dalam flight. Sambal cili tu manis2 pedas, sedap! Sup pun sedap, Alhamdulillah. Aku dah makan sesudu baru teringat nak ambik gambar.

Dah kenyang makan kat sini, kami semua ke bahagian dalam pasar sebab aku teringin nak makan pancake. Aku ingat nak beli masa mula2 ke sana tapi disebabkan orang yang menunggu order pun ramai, aku hold dulu. 


Mana tak ramai orang yang membeli kalau Heliza yang berniaga? Akak ni senyum je, sabar melayan kerenah kitorang yang macam2. Sikit2 nak ambik gambar, kang jap lagi nak ajak bergambar. Dia nak buat kerja pun tak senang. 

Dah semua orang dapat apa yang diidam, tibalah masa untuk kembali ke guesthouse. Pasar ni dibuka dari pukul 5.00 petang hingga 2.00 pagi. Kalau korang ke Kanchanaburi, ambil masa untuk singgah di sini. Mungkin ada rezeki korang boleh makan nasi ayam yang sedap, atau bersua muka dengan akak Heliza. Tapi nasi ayam yang kitorang makan tu ramai peminatnya, masa kitorang nak balik owner gerai tu tengah kemas nak balik dah. Balik dengan tuk-tuk yang sama dan bila dah sampai ke guesthouse, masing2 terus hilang dalam bilik masing2. 


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...