Showing posts with label Makan2. Show all posts
Showing posts with label Makan2. Show all posts

Sunday, March 26, 2017

road trip 2016 | hingga jumpa lagi, perlis

Entry ini sambungan dari road trip 2016 | santai di perlis.


Di hari baru bermakna ada pengalaman baru yang bakal kami lalui. Selepas solat Subuh, sementara menunggu giliran untuk mandi, masing2 mengambil kesempatan packing pakaian yang dibasuh semalam. Kami keluar sekali dengan Lin yang nak ke tempat kerja. Tapi sebelum tu Lin bawak kitorang breakfast chapati yang best. Jangan tanya location sebab aku tak tahu. Yang pasti tak jauh dari tapak nat pasar pagi.

Dah selesai breakfast, Lin terus ke tempat kerja dan kitorang melencong ke nat. Jalan kaki je dari tempat kami breakfast. Restoran ni depan rumah owner tu aje, dan depan rumahnya adalah jalan raya yang tak besar pun. Lama jugak kami merayau dalam kawasan pasar, macam2 yang diniagakan. Kalau ikutkan nafsu, nak aje beli benda yang berkenan di hati. Tapi memandangkan kami masih lama di jalanan, niat itu dibatalkan. 

Lepas nat pagi Rabu, kami ke arah Kuala Perlis. Konon nak menjengah Laksa Kak Su, tapi masih belum buka. Alang2 nak kena tunggu, kami akhirnya sepakat nak mengintai apa yang ada di Muzium Kota Kayang. Tergoda jugak nak menjengah bila nampak banyak signboard di sepanjang jalan. Masa kami sampai adalah 2 - 3 buah kereta kat parking, sunyi je suasananya.


Laluan masuk ke bangunan ini adalah melalui 'rumah' yang paling tengah. Kat situ ada kaunter tapi takde penjaga. Kami ni baik, tulis nama dulu kat buku lawatan sebelum masuk ke dalam. Entrance fee adalah percuma.


Acuan duit pitih. Aku syak orang Terengganu yang mula2 perkenalkan matawang ni sebab kami yang guna perkataan pitih, even sampai sekarang. 


Ada bahagian yang mempamerkan aneka jenis senjata, keris adalah di antaranya.

Dalam main building ni ada banyak section, dari sejarah negeri Perlis, arkeologi, hinggalah section kebudayaan. Suasana cukup tenang, aircond pulak just nice dan semuanya dijaga rapi walaupun sepanjang kami kat situ, langsung tak jumpa pekerja muzium. Agaknya dorang invisible kot.


Bangunan muzium dari arah belakang. Lepas habis melihat kat dalam tu, kami ke bahagian belakang. Tertarik nak ushar sebab nampak menarik.

Kat bahagian taman belakang ni baru kitorang nampak pekerja landskap sedang membersihkan kawasan. Sembang kejap dengan pakcik pekerja tu, pastu kitorang berjalan ke Galeri Diraja di sebelahnya. Kat hujung depan Galeri Diraja ada porch yang mempamerkan kereta diraja. Aku tak pegi dekat pun, malas nak berpanas. Puteri lilinlah sangat.


Tepak sirih ni memang sentiasa jadi tumpuan aku. Suka betul aku dengan tepak sirih. 


Design lain pulak.

Dalam galeri ni dipamerkan salasilah keturunan diraja Perlis. Selain dari gambar, barangan yang pernah digunakan keluarga diraja turut dipamerkan untuk tatapan umum. Dan ada satu section lain yang mempamerkan senarai Menteri Besar Perlis dan koleksi yang diterima mereka. Dah habis belajar sejarah, kami patah balik ke parking. Lagipun dan lebih pukul 11.00 pagi, Laksa Kak Su dah memanggil. 

Punyalah kemaruk nak merasa laksa yang sedap sangat tu, masing2 lupa nak snap gambar. Dah habis licin baru teringat. Sementara nak menunggu tu, sempat jugak aku makan pulut panggang yang kat atas meja. Verdict? Bagi aku laksa Kak Su biasa2 je, nothing to shout. Mungkin jugak aku lebih favor laksa Terengganu yang lagi sedap kat tekak. Pulut panggang pun biasa2 je, tak boleh celen pulut panggang kat Terengganu. Oh, kami kadang2 panggil pulut lepa. 


Seperti biasa asal jumpa tempat cantik dan ada tempat nak parking, kitorang berhenti dan snap. 

Dari Kuala Perlis kami menuju ke arah selatan meninggalkan negeri paling kecil di Malaysia. Memang kami totally tak guna highway, jalan pun entah ke mana2. Kadang2 follow google maps, kadang2 redah je based on signboard tepi jalan. Bila ternampak signage Muzium Padi, kami decided nak singgah. Dah terlajak tapi aku buat u-turn kat depan. Laluan nak ke Muzium Padi memang best, sawah padi menghijau. Location wise memang win.

Sementara Nik dan Ita nak ke toilet, aku melepak dengan Ira kat bangku tepi bangunan. Dia punya ngantuk tahap nak tongkat mata pun tak larat dah. Kalau tak kerana pondok depan kitorang tu kotor, memang confirm aku dah bantai baring kat situ. Entrance fee ke Muzium Padi adalah RM 5.00 seorang. Entahlah, aku rasa muzium ni tak masuk pun takpe. Takde yang betul2 membuatkan aku rasa excited, dengan panasnya kat dalam tu terus rasa tak berbaloi bila kena bayar. Muzium Kota Kayang yang free tu lagi worth it.

Tak lama kami kat Muzium Padi, tak tahan panas. Konon nak singgah Pusat Sains Negara, tapi bila panas2 ni mood memang ke laut. Aku ngantuk giler, tak tahan rasanya. Terus tukar drive dengan Ira. Konon2 nak lelap mata kat belakang, tak tak berjaya πŸ˜ͺπŸ˜ͺπŸ˜ͺ. Dah melepasi tengah hari, perut dah berkeroncong dan kami menghala ke arah Kuala Sungai. Tergoda bila Lin mention pasal nasi daging harimau menangis. Tambahan pulak daging memang favorite aku.

     
Dah bersuap2 masuk mulut, baru teringat nak ambik gambar. Tak senonoh, kan?


Highlight adalah daging bahagian harimau menangis ni. Aku suka, kena dengan taste aku. Portion pun banyak. Kalau kebetulan ke utara memang aku akan singgah. Nak cari direction boleh google AF Mee Kuah Tulang. Jangan tanya aku apa kaitan nama kedai dengan AF - Akademi Fantasia sebab aku pun tak tahu. Kedai tepi jalan, sebelah mini market. 

Perut dah kenyang, ngantuk pun dah berkurangan, kami teruskan perjalanan. Kali ni kami menuju ke ibu negeri Kedah, Alor Setar. Aku teringin nak ke Pekan Rabu, tak pernah sampai lagi ke sana. Sekarang ni Pekan Rabu dah berpindah ke Ukir Mall, inilah first time aku jejak. Pekan Rabu ni ada persamaan dengan Pasar Payang, sama tapi tak serupa. Sempatlah aku rembat flat pan sebijik, konon2 nak menjala. Tapi sampai ke hari ni tak bukak plastik pun lagi. Kami terus bersolat di surau yang disediakan, lepas ni tak perlu risau nak singgah solat lagi. 

Dari Ukir Mall kami tinggalkan Bandaraya Alor Setar menuju ke Pendang melalui Kuala Kedah. Tepi jalan kami nampak signboard warna coklat, maknanya ada bangunan sejarah. Kat google maps pun ada symbol tu jugak. Gigih kami cari location, berpusing2 google maps bawak kitorang. Konon dah sampai, tapi takde pape pun. Last2 kitorang try and error, terjah sampai sudah. Hasil terjahan kami membuahkan hasil, berjaya akhirnya.


Lepas parking kami terus ke bahagian tengah benteng. Aku agak rumah ni adalah istana yang dibina sewaktu pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II (1804 - 1845). Tak ada info yang jelas pasal bangunan rumah tersebut.

Kota Kuala Kedah atau juga dikenali sebagai Kota Kuala Bahang ini merupakan benteng pertahanan Melayu yang tertua di utara Malaysia. Asalnya dibina dengan menggunakan tanah liat, kayu bakau dan buluh. Pembinaannya mendapat bantuan dari pihak Portugis sewaktu pemerintahan Sultan Sulaiman Shah (1602 - 1620) yang memerintah Kota Seputeh. Kota ni banyak kali musnah dan dibina balik disebabkan oleh serangan dari pihak luar. Nak tahu kisah selanjutnya silakan bertanya cik google.


Rumah api dari jendela kayu.


Sebab cuaca panas dan aku dah malas, aku takde kerajinan nak pergi ke hujung sana. Sekadar ambik gambar dari jauh ajelah.


Keluar dari Kota Kuala Kedah, kami ke tepi pantai. Bukanlah pantai sangat sebenarnya, sebab berselut. View dari atas jambatan sana tu cantik, tapi tak boleh nak berhenti.


Kapal nelayan berbaris menuju ke lautan lepas mencari rezeki.

Dari Kota Kuala Kedah kami melalui jalan kampung menuju ke Pendang. Syok giler bila duduk belakang dan mata boleh memandang ke luar tanpa perlu fokus ke depan. Bahagia betul menikmati suasana di sepanjang perjalanan, hijau dengan sawah padi. Untuk malam ni kami takde booking penginapan, kami singgah di Pendang Lake Resort bertanyakan bilik kosong. Ada bilik untuk 4 orang dan kami bermalam di sana untuk malam ini.


Depan bilik yang mengadap tasik. Indah dan tenang.


Bilik untuk kami berempat. Katil hujung yang lain macam warnanya tu untuk 2 orang.

Selepas Maghrib kami keluar dengan misi besar. Kami mencari Eco Shop, anak buah aku yang kenalkan dengan kedai RM 2.12 termasuk gst ni. Kami beli tali dan cloth pegs, sabun memang aku dah bawak. Singgah dinner kat area depan Petronas, situ ada banyak stalls bukak, meriah dengan orang ramai. Habis dinner kami terus balik.

Masing2 ambik turn bukak kedai dobi. Gigih aku buat ampaian dalam bilik, memang tv pun terlindung bila kami sidai baju. Lagipun kami takde mood nak melayan tv, ada urusan lebih penting nak diselesaikan. Lewat jugak aku tidur, dorang dah lena baru aku tarik selimut. Itu pun dengan harapan pagi esok semua yang tersidai dah kering.

End of day 5.


Thursday, March 16, 2017

road trip 2016 | santai di perlis

Entry ini sambungan dari road trip 2016 | dari satun ke gua kelam.


Keluar dari Gua Kelam, Ira ajak ke look out point Empangan Timah Tasoh. Disebabkan kami ada banyak masa free dan Perlis ni pun takde lah besar sangat, jadinya kami redah je berpandukan papan tanda. Paling2 sesat pun sampai sempadan Thailand je. Nama drive pun santai2, bila nampak view cantik tepi jalan senang nak berhenti.


Berhenti tepi jalan demi landskap sawah padi dengan bukit bukau kat belakang. Kat Perlis ni jalan lengang, nak berhenti tepi jalan bukan masalah besar pun.

Mujur ingatan Ira masih kuat, dapatlah kitorang jumpa tempat nak melepak. Sebenarnya dah terlajak ke depan, tapi aku berjaya u-turn dengan jayanya. Aku tak sure apa nama tempatnya, tapi masa kitorang sampai sunyi je. Adalah kereta kat parking, tapi tak banyak. Laluan masuk berkunci, jadi kitorang lalu ikut tengah2 which I realized itu pintu masuk hotel. Kata Ira, kat situ ada kedai makan. So, kitorang feeling2 nak melepak sambil makan kat situ. Sekali semua kedai makan tutup. Sudahnya kitorang habiskan jajan sambil melepak killing time.


Empangan Timah Tasoh, bukan hanya view cantik, tapi angin best giler kat atas ni. Mata makin memberat.



Lama jugak kami kat sini, sampai habislah jajan kitorang makan. Dengan angin yang bertiup, memang boleh lelaplah. Ira bagi suggestion ke tepi empangan, ada laluan nak ke sana katanya. Kitorang kemaskan tempat kitorang duduk dan ke kereta. Sempatlah dorang ke tandas dulu dan dari tempat kitorang melepak tadi tu tak jauh pun. Keluar dari kawasan rehat kami ke kiri, dan nanti masuk simpang kecil belah kiri. Kalau tak silap ada signboard hotel kat tepi tu.

Kawasan tu tengah dibersihkan, rupa2nya ada event yang baru berakhir semalam. Kitorang terlambat lah nampaknya. Ada banyak pondok tepi tasik, tapi pondok yang cantik2 semua berpenghuni. Berpusing2 kitorang cari tempat nak lepak, sampailah kami decide untuk menyinggah ke pondok yang satu ni. Bolehlah takat nak duduk2 kejap, insya Allah tak roboh. 




Tasik depan pondok kitorang. Air tu memanggil2 je kitorang untuk terjun tetengah panas ni, haish!

Lama jugak kitorang kat situ, sampailah ketenangan kitorang diragut oleh keluarga yang tiba2 menerjah kat pondok kitorang. Punyalah banyak tempat lain, pondok tempat kitorang melepak jugak yang dorang nak menempel. Rengsa, terus kitorang angkat kaki. Kebetulan kawan Ira call suruh ambik kunci rumah, then kami terus menuju ke sana. 

Dah dapat kunci rumah, kami terus ke rumah Lin. Aku tunggu kat luar sementara dorang uruskan kucing masuk ke sangkar. Oh, I is penakut kucing. Dah settle baru aku masuk. Bila Lin balik, kitorang tengah melepak sambil2 sorting baju nak basuh. Dah selesai urusan tertunggak, kitorang keluar. Kali ni tuan rumah yang drive, kami acah2 jadi pelancong.


Setelah kami asyik ber wow sana, wow sini, bila nampak sawah, Lin berhentikan kereta tepi jalan. Awal2 tu aku sorang je yang turun, last2 semua masuk sawah.


Antara impian aku, nak ada rumah tengah2 sawah. Bangun pagi mesti best, bukak jendela tengok sawah bendang. 


Matahari dah nak turun beradu.


Last.

Kami ke jeti Kuala Perlis, lepak2 sambil tunggu masuk waktu Maghrib. Ramai rupanya yang turut sama melepak kat kawasan ni. Dan ramai jugak yang baru turun dari feri yang tiba dari Langkawi. Nak makan Laksa Kak Su yang famous tu, kedai tutup hari Selasa. Makanya hari ni kami cari makanan lain ajelah. Esok2 kalau ada rezeki, baru dapat kami merasa laksa yang menjadi sebutan seantero Malaya itu.


Ketika air pasang, masjid ni akan kelihatan terapung. Bahagian bawah akan ditenggelami air laut.

Bila Bilal melaungkan azan masuknya waktu Maghrib, kami dan yang lain2 bergerak masuk ke dalam masjid. Ruang mengambil wuduknya selesa dan tertutup. Mungkin masa aku masuk tu, orang terlalu ramai, jadi agak crowded. Aku baru tahu yang masjid di Perlis tak amalkan bacaan doa oleh Imam lepas solat berjemaah. 


Dah malam, cantik pulak masjid ni.


Kalau air laut pasang sure lagi menarik.

Lepas solat Lin bawak kitorang dinner. Bila orang yang bawak, memang takdelah nak ambik kisah pasal laluan ke apa. Yang penting sampai ke tempat di tuju. Lagipun, tuan rumah mesti tahu yang terbaik punya. 


Di sinilah tempat kitorang bersantap malam tu, Restoran Api-Api Ikan Bakar, lokasinya on the way nak ke Muzium Kota Kayang. 

Memang full house masa kami sampai, walaupun bukan malam minggu. Duduk sekejap dan bila ada yang dah settle, cepat2 kitorang book table. Nak menunggu hidangan sampai ke meja lama jugak. Normallah tu bila ramai pelanggan. Alhamdulillah, makanan sedap dan tidak mengecewakan. Mengah nak habiskan semua yang terhidang. Dari segi harga, aku tak tau sebab Lin belanja dan dia tak disclose berapa total hangus. Tapi katanya tak semahal di KL.


Cubaan mengambil gambar full moon.

Lepas makan Lin bawak kitorang meronda ibu negeri Perlis, Kangar. Pusing2 tak berhenti pun. Alahai, kecik bebenor tempatnya. Amatlah susah nak nampak bangunan tinggi. Tapi aku suka suasana yang tak crowded ni, aman damai. Tak perlu nak bersesak2 dengan traffic. Dah puas meronda, kami balik ke rumah.

End of day 4.


Sunday, June 26, 2016

trip java | pantai timang dan enaknya lobster

Entry ini sambungan dari trip java | lobster dan pantai timang.


Disebabkan aku teruja tengok batu besar yang tertulis TIMANG tu, aku tak perasan ada orang naik gondola nak menyeberang ke sebelah sana. Bila aku perasan, gondola tu dah nak sampai kat hujung sana pun. Cepat2 aku cuba capture moment tu. Rupa2nya itulah gondola terakhir yang bawak pengunjung ke seberang sana.


Yang dalam kotak kuning sebelah anak panah merah tu adalah gondola yang dorang naik. Dengan ombak yang tak pernah reda kat bawah tu, memang tak lah aku nak naik. 


Warna air pun cantik je walau sentiasa berombak ganas. 


Bila aku zoom hujung sana, nampak macam 12 apostles versi Indonesia pun ye jugak. Tapi aku tak sure lah bilangan tu ada berapa.


Inilah rupanya tapak binaan untuk gondola. Dorang make use bahan2 yang boleh recycle, dengan kos yang minima. Binaan gondola ni adalah dari hasil kerja penduduk kampung, tanpa sebarang bantuan kos dari pihak kerajaan.

Masa aku ambik gambar kat sini, bapak pengendali gondola ni tanya aku tak nak naik ke? Bila aku kata aku naik kalau dorang bagi aku satu milyar, dorang bantai gelak je. By the way, aku terlupa nak tanya berapa kos untuk naik gondola ni. Sebabnya aku memang tak berani nak cuba!


Sebelah kanan dari Pantai Timang. Area sini banyak cliff berbatu. Angin dengan ombak toksah ceritalah, memang kuat. Aku nak rapat ke tebing pun tak berani.


Kalau tak sanggup nak naik gondola, korang boleh sewa pelantar ni untuk bergambar. Ada banyak pelantar macam ni, tapi mostly range sewa dalam Rp 5000. Tengok camni pun aku tak berani. Kalau terjatuh confirm basah terus.


Seriau je aku tengok dorang tu duk kat tepi batu sana. Tak lama lepas tu aku nampak dorang turun tangga tu, lagi ler aku bertambah seriau. Kat bawah batu2 tu lah dorang tangkap lobster yang bakal kitorang santap sat lagi.

Tempat kitorang berdiri ni memang berbatu macam korang nampak dalam gambar atas tu. Memang kena hati2 melangkah, kang tak pasal2 tersungkur. Keliling cliff ni dorang dah pasang pagar macam gambar kat atas tu. Tapi based on my calculation, aku tak berani nak rapat ke tebing. Sekali angin bertiup pun aku dah goyang. Kalau time ombak besar, ombak tu memang sampai ke atas tempat kitorang berdiri ni. 


Walaupun panas tapi seronok je lepak kat sini lama2. Banyak benda yang boleh diperhatikan. Tengok ombak membadai tebing pun boleh ralit.


Pesanan khidmat masyarakat. Sila jangan nyampah, okay?

Apa yang aku perhatikan, kawasan sini bersih. Tak ada sampah merata macam sebelum2 ni. Ada bakul sampah yang dorang sediakan. Aku rasa dorang dah mula alert dengan kebersihan, sebab lately bila aku ke tempat2 wisata di Indonesia, kebersihan dah semakin baik.


Hanya ini je kawasan pantai yang ada di Pantai Timang ni. Kawasan yang jadi tumpuan tu cuma cliff berbatu je. Pantai ni curam, tak sesuai nak mandi manda. Sekali ombak datang, memang disapu bersih kawasan pantai yang terhad tu.

Kitorang akhirnya ambik keputusan untuk balik. Penat menunggu gondola tu patah balik, tapi takde nya. Dorang yang menyeberang tu masih tak puas agaknya duk kat atas batu besar tu. Sekali lagi kitorang mengalami perjalanan pulang yang menyakitkan. Rasa luruh semua tulang temulang.


Pit stop untuk pos ojek. Siap ada jadual untuk tukang ojek tergantung kat tepi tu. Senang betul dorang buat rules sendiri semata2 kerana duit.

Bila dah semua sampai, kitorang meninggalkan kawasan pos ojek menuju ke destinasi yang ditunggu. Dah tak sabar dah sebenarnya ni. Bila sampai, instead of masuk dalam umah, kitorang lepak kat berugak depan rumah. Kami menolak bila dijemput masuk, lebih selesa di berugak. Tak lama kemudian, sampailah yang ditunggu2.


Bintang yang ditunggu2 dah muncul. Yang paling ditunggu yang belah kiri tu.


Sekilo lobster yang dimasak rempah, pandai je aku bagi nama. Tapi memang sedap masakan ni. Aku siap mintak kuah lobster ni lagi. Dorang memang makan nasi tak berkuah, sebab tu lobster ni dihantar kering macam ni.


Aku close up lagi lobster ni. Aduhhh, sedap dan manisnya isi lobster ni masih terasa lagi kat lidah. Maafkan aku andai ada yang terliur, sebab aku memang tengah craving for the lobster. Ada jugak kang yang meripit ke Jogja semata2 nak makan lobster nih, haish.

Dah kenyang, dengan berat hati kitorang tinggalkan rumah tersebut. Mau tak berat nak melangkah, kekenyangan kot. Lobster yang kitorang dapat dalam 6 ekor, saiz sedang 3 ekor, dan yang kecik sikit 3 ekor. Ngam2 untuk kitorang berempat, tapi kalau ada lagi habis je. Meninggalkan Pantai Timang dan perkampungan ini bukan hanya dengan kenangan terindah, tapi juga dengan perut yang kenyang. 

Destinasi seterusnya akan bersambung lagi bila ada kerajinan.


Thursday, June 23, 2016

trip java | lobster dan pantai timang

Entry ini adalah sambungan dari trip java | macet di solo, kelewatan di pacitan.


Around 7.00 am, staff hotel ketuk pintu bilik aku dan bagitau supir dah sampai. Bila aku keluar dan jumpa Izza, katanya dah bagitau supir lewat sikit. Lebih kurang 7.30 pagi jugak baru kitorang keluar. Supir kitorang hari ni namanya panjang, tapi kitorang panggil Yanto. 


Kat town kitorang tersangkut dalam traffic kejap, sebab ada event Larian 55 Tahun Bank Jogja katanya. Tapi aku tengok takde yang berlari pun, masing2 berjalan je. 

Dah lepas kawasan event tu, laluan dah kembali tenang. Perjalanan kitorang smooth je, selain dari Yanto yang drives slow teramat, semuanya berjalan lancar. Masa Yanto singgah ke Indomaret, kitorang semua turun singgah cari makanan. Kemudiannya perjalanan diteruskan menuju ke Pantai Timang.

Just before sampai ke Pantai Timang, kitorang singgah booking lobster untuk lunch. Sebenarnya dah terlajak, tapi Yanto patah balik dan bawak kitorang ke rumah pemilik lobster. Lobster yang saiz sederhana besar berharga Rp 450k sekilo termasuk nasi, sayur dan air. Kira pakej lah tu. Yang saiz besar aku dah lupa berapa harganya, tapi lebih mahal dari yang sederhana besar tu.


Lobster yang ditangkap di Pantai Timang disimpan dalam kolam ni untuk tempahan.


Tengok lobster hidup ni pun aku dah telan air liur. Sedapnya lah makan lobster fresh! Nyumm... nyum...


Tepi jalan nak masuk lorong rumahnya ada signpost ni, tapi kecik sangat. Nah, aku payung nombor telefon in case korang nak call untuk booking sebelum datang +62 812 2795 8074. Dah settle booking, kitorang proceed ke Pantai Timang.

Sebelum sampai ke pantai, Yanto bagitau kereta tak boleh masuk. Kitorang kena ambik ojek, untuk mancanegara dorang charge Rp 50k seorang. Tapi kata Yanto, dia akan mintak harga local Rp 35k seorang instead. Sebelum datang sini, aku ada baca yang sebenarnya kereta boleh je masuk ke kawasan pantai. Tapi later on bila trip dengan Dwi, kitorang tahu kisah sebenar kenapa kitorang kena bayar.

Mamat ojek tu bawak main redah je, lenguh tangan nak tahan handle bar kat belakang motor. Belum lagi part melompat2, jenuh nak control tak nak bagi terjatuh. Bila ingat balik memori naik ojek ni, terus sakit2 badan. Tapi kalau nak meripit lepas ni, aku dah tau nak carik siapa yang boleh by pass ojek. Dari tempat parking, kami berjalan ke arah Pantai Timang yang menjadi sebutan ramai tu.


Dari jauh dah kelihatan batu besar yang seolah2 terapung di lautan ni. Ada kumpulan tourist yang dah pun menyeberang ke sana. Dengan ombak yang membadai ganas, bukan takat seriau dah aku rasa.

Sebelum kitorang datang tadi, Yanto dah pesan. Katanya kalau ombak kuat sampai ke atas, jangan lari sebab batu tajam dan licin. Seboleh mungkin cuba selamatkan barang2 je dari basah, katanya. Memang kawasan atas ni berbatu dan tak rata. Batunya pulak tajam dan licin, masih kebasahan mungkin dek ombak ganas yang menyapa.

Okay, mood aku dah ke laut lepas. Nanti rajin2 aku sambung balik eh...


Wednesday, March 23, 2016

kuala kurau - kuala gula - kuala lumpur

Entry ini adalah sambungan dari parit buntar kampung run 2016.


Dah hilang penat, tak tau nak buat apa dah kat kawasan khemah tu, kami balik. Tak daya nak tunggu cabutan bertuah. Perjalanan kami masih jauh. Sebelum ke kereta, sempat aku singgah beli kuih untuk sarapan kat gerai akak tepi jalan. Alhamdulillah, masih boleh dapat kuih 3 biji seringgit kat kampung ni. On the way ke homestay, kitorang berhenti tepi jalan.


Semata2 nak ambik gambar ni. Punyalah malas, aku terlupa nak check gambar lepas capture. Yang sebenarnya aku nak ambik gambar batang kelapa melintangi tali air ni. Hasilnya, batang kelapa tu nun kecik je kat hujung sana.

Sampai kat homestay, lepas parking kereta kitorang tak terus masuk rumah. Kami meronda nak bergambar dulu, bukan senang nak datang ke sini lagi. 


Tali air tengah2 jalan, depan homestay. Homestay kami belah kiri, setentang ni ada rumah penduduk kampung dan sawah padi. Warna langit memang membiru!


Belum musim padi lagi. Kata makcik homestay, dorang buat padi 2 kali setahun.

Lama jugak kitorang berjalan, sempatlah bertegur sapa dengan makcik2 rumah depan homestay kami. Orang kampung memang ramah, rajin menegur walaupun tak pernah kenal. Tak jauh dari homestay tu ada tempat rehat dan bangku merentangi tali air, kami lepak kat situ bersembang. Bila perasan dah lewat baru kitorang balik ke rumah.

Since semalam makcik homestay kata boleh je keluar pukul berapa pun sebab takde orang nak check in, so kami saja buat lambat2. Sempat aku terlena atas sofa depan tv. Terjaga bila tengok Ita dah siap mandi. Lebih kurang pukul 1.00 tengah hari kitorang check out. Balik kali ni kitorang nak menyinggah ke satu tempat ni, alang2 dah sampai kan.


Kami menuju ke arah Kuala Gula, opposite laluan masa datang hari tu. Sebab awan nampak cantik, gigih berhentikan kereta tepi jalan semata2 nak snap gambar. 


Jalan raya lurus dan sunyi, jarang2 je berselisih dengan kenderaan lain. Kiri kanan adalah ladang kelapa sawit.


Kuala Gula Sanctuary Resort. Oh, kami ambik gambar je, tak ke sana pun.


Kami datang untuk ini, JS Muara Restoran Terapung. Atas kiri adalah signature dish ketam kulit lembut, telur bungkus, kari sembilang dan kailan ikan masin.

Ketam kulit lembut goreng tepung tu bagi aku biasa je, selain dari boleh makan terus tanpa kopek kulit. Isi agak tawar dan agak berminyak. Telur bungkus okay, not bad. Kari ikan sembilang aku cuma boleh makan isi je. Walaupun dorang kata ikan laut, tapi tekak aku tak boleh nak makan banyak dan bila aku try makan kulit, tekak aku cepat2 refuse. Karinya biasa2 je. Kailan tu tak rasa ikan masin pun, kecewa. Nak kata nak mengulang datang lagi tak lah, tapi kalau ada yang ajak singgah makan boleh je. Selera aku sememangnya tak sama dengan selera korang.  


Jeti sebelah restoran terapung.

Perut dah kenyang, kami balik ke pangkal jalan. Lalu jalan raya yang dikelilingi ladang sawit, kemudian jumpa pekan dan aku follow je signboard yang ada. Kat area mana ntah, baru aku masuk ke highway. 


Ni aku lupa area mana. Aku suka tengok barisan gunung ganang kat depan tu.

Aku keluar exit Bidor, konon nak cari buah. Entah macam mana, aku tak jumpa tempat yang kitorang pernah singgah dulu. Agaknya aku tersilap jalan kot. Last year aku jadi passenger, tau2 dah sampai. Dah tak jumpa, aku drive lalu ikut Sungkai dan singgah kat simpang Trolak, ada gerai jual buah. Tapi yang aku cari tetap takde. 

Tepi jalan dari Slim River ke Tanjung Malim, aku terperasan ada gerai belah kiri. Terus berhenti dan ada rezeki aku. Sebenarnya masa kat pekan Sungkai ada nampak banyak orang jual kat tepi jalan, tapi masa tu hujan selebat2nya, maka aku tak berhentilah. Dah dapat apa yang dihajati, bila nampak je simpang untuk masuk ke highway, aku terus je lah. Dari situ terus keluar exit Putrajaya.


Sunset dari dalam kereta. Masa ni dah masuk area KL kalau tak silap.

Konon nak kejar Perfect Match, tapi highway boleh tahan slow moving petang tu. Ramai orang bercuti agaknya, maka perjalanan balik kitorang pun jadi lama. Bertabahlah terlepas episod hari tu. Aku sampai rumah dalam pukul 8.00 lebih, lepas dah dropkan Ita kat Putrajaya Sentral. Berakhirlah short trip demi Parit Buntar Kampung Run 2016. Kalau tak kerana larian ni, belum tentu aku sampai ke Parit Buntar.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...